28 May 2012

FAKTOR KELUARGA BAHAGIA MENURUT ISLAM

By Ieta Mat Saad   Posted at  1:59 AM   TAZKIRAH No comments


Inilah assignment dari kumpulan aku dalam subjek Institusi-institusi Islam dalam semester tiga.... Bab yang aku buat ialah : FAKTOR-FAKTOR KELUARGA BAHAGIA MENURUT ISLAM


KELUARGA BAHAGIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1. PENGENALAN
            Di dalam meniti kehidupan di dunia ini manusia dan segala ciptaan alam ini dijadikan berpasangan bagi memenuhi tuntutan fitrah semulajadi yang telah diatur oleh Maha Pencipta. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan darinya pasangan (isterinya Hawa) dan yang membiakkan darinya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai” (Surah an-Nisa 4:1).
Pengertian keluarga (Kamus Dewan, Edisi Keempat) bermaksud seisi keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak, manakala bahagia pula bermaksud suasana senang dan aman manakala Islam pula adalah agama yang selamat dan secara keseluruhan maksudnya ialah pembinaan sebuah kehidupan yang bahagia berlandaskan tuntutan agama yang benar.
Namun dalam kebanyakkan budaya termasuk di kalangan masyarakat Melayu, tempat tinggal yang sama tidak dipentingkan, malah terpisah-pisah antara satu anggota dengan anggota yang lain terutama selepas sebahagian dari mereka berkahwin. Dalam struktur keluarga kabilah Arab sebelum Islam, anggota keluarga memang bukan sekadar orang sedarah atau mempunyai hubungan rahim (silaturahim). Prinsip seumpama ini sangat berbeza dengan ajaran Islam. Kerana Islam menetapkan bahawa keluarga hanya terbentuk sama ada melalui darah keturunan atau perkahwinan.
2. PERSEDIAAN MENUJU GERBANG PERKAHWINAN   
            Perkahwinan amat dituntut dalam Islam. Ia dapat mengembangkan institusi sosial, selain merupakan saluran yang betul untuk meluahkan  rasa kasih sayang seorang individu kepada individu lain yang berlainan jantina pada jalan yang dibenarkan syarak (Fadzilah Kamsah: 2011: 46). Firman Allah S.W.T:
Terjemahannya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah Al-Rum: 30: 2)
Hidup berkeluarga adalah kehendak semulajadi manusia, setiap orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang sesuai dengannya bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga. Pembinaan sesebuah keluarga bermula dari perkahwinan (Zulkifli Mohammed al-Bakri: 2010: 101).

i. Tujuan Perkahwinan
Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamat yang besar ia adalah sunnah nabi Muhammad s.a.w, di dalam Islam perkahwinan adalah ibadat, tidak sama seperti pegangan agama lain seperti kristian, Buddha dan lain-lain yang mana para pembesar ugamanya tidak berkahwin kerana mereka percaya berkahwin bukan ibadat. Sedangkan berkahwin mempunyai tujuan yang murni dan indah seperti menghindarkan diri dari berlaku maksiat zina, menuruti fitrah melahirkan zuriat keturunan anak Adam sesuai dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Selain itu masalah penyakit seperti siflis, aids dan lain-lain dapat dihindari dengan ikatan perkahwinan yang sah, kerana dengan perkahwinan ini dapat menyempurnakan tuntutan kelamin (seks) mengikut hukum Islam (Badli Shah Alaudin: 2010: 75). Kehidupan keluarga yang aman damai dapat dibentuk jika matlamat perkahwinan dapat dilaksana. Nabi s.a.w bersabda:
Terjemahannya: “ Golongan belia sekelian barangsiapa diantara kamu berkuasa berkemampuan menyediakan nafkah zahir dan batin maka hendaklah kamu berkahwin, maka sesungguhnya perkahwinan itu dapat memejamkan mata (mengelak dari melakukan maksiat) dan memelihara kehormatan dan mereka yang tidak berkuasa maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya dengan berpuasa itu adalah menjadi perisai baginya.”
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari,  Muslim,dan lain-lain.
 ii. Kebaikan Dari Perkahwinan
            Perkahwinan merupakan tali perhubungan di antara lelaki dan perempuan, tali yang dapat mempereratkan kasih sayang, cinta abadi, melahirkan perasaan bertimbang rasa dan bertanggungjawab serta dapat membina sebuah mahligai rumah tangga yang aman damai dan bahagia. Perkahwinan juga dapat menghindarkan daripada perbuatan jahat dan curang serta membanteras dan menghapuskan segala nafsu kehaiwanan dan persundalan penjenayah zina disenaraikan sebagai penceroboh yang amat keji dan merbahaya yang mana amalan perzinaan boleh membawa kepada keruntuhan moral dan budi pekerti dan akhirnya boleh menjahanamkan kehidupan masyarakat yang bermaruah (Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: 2010: 101). 
Rumah tangga atau perkahwinan juga kerap digelar sebagai “syurga dunia”. Syurga itu dinamakan al-jannah al-a’jilah (syurga yang disegerakan) oleh ulama-ulama tasawuf (sufi) Menurut mereka, sesiapa yang mendapat syurga di dunia ( al-jannah al-a’jilah ), maka seseorang itu akan dapat menikmati syurga yang hakiki dan abadi di akhirat kelak. Tetapi bagi sesiapa yang tidak mendapat syurga di dunia (perkahwinan) dan menjaganya sebaik mungkin, maka di syurga yang hakiki nanti mereka juga  tidak akan memperoleh nikmat syurga tersebut. Ketenangan hati di dunia itu amat penting dicapai sebagai jambatan untuk mendapat kejayaan di akhirat nanti (Pahrol Mohamad Juoi: 2011: 16).
iii. Hukum Kahwin
Hukum perkahwinan atau nikah asalnya menurut kebanyakkan ulama adalah sunat, namun hukum tersebut boleh menjadi wajib, makruh, haram atau harus mengikut keadaan (maslahah) seseorang (Wan Ali bin Wan Jusoh: 2012: 12).
a . Fardhu (wajib): Jika seseorang itu mempunyai nafsu syahwat yang memuncak yang mana sekiranya tidak berkahwin akan menjerumuskannya ke lembah maksiat zina.
b. Sunat: Jika seseorang itu mampu tetapi masih dapat menjaga dan mengawal dirinya dari melakukan maksiat zina.
c. Makruh: Jika seseorang itu mempunyai keinginan tetapi tidak mampu dari segi kewangan. Oleh hal yang demikian maka Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada golongan ini supaya berpuasa.
d. Haram: Jika seseorang itu tidak mempunyai keinginan nafsu tetapi berkahwin dengan tujuan tidak jujur yakni mempunyai tujuan jahat terhadap bakal isterinya.
e. Harus: Jika seseorang itu tidak terdesak oleh alasan-alasan yang mewajibkannya untuk segera kahwin dan tiada alas an yang mengharamkannya,  maka hukum perkahwinan adalah harus.
iv. Persediaan  Sebelum Kahwin
Seseorang yang akan berkahwin hendaklah terlebih dulu mengetahui tentang tugas dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri, bapa atau ibu. Perkara yang paling penting kepada seseorang lelaki yang hendak berkahwin ialah mampu menanggung nafkah bakal isterinya, nafkah nafkah zahir dan batin. Suami isteri juga hendaklah mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan perkahwinan seperti nikah, cerai, rujuk, iddah dan sebagainya (Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood: 2012: 86 ).
v. Cara Memilih Jodoh
Bagi golongan lelaki Rasulullah s.a.w bersabda: “ Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunanya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu yang mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia”. Hadith riwayat Imam dan Muslim secara terang Rasulullah s.a.w telah mengarahkan agar seorang lelaki memilih wanita yang beragama sebagai isteri serta menjanjikan kebahagian berasaskan agama.
Bagi golongan wanita pula. Rasulullah s.a.w telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.
3. STRUKTUR UTAMA PEMBINAAN KELUARGA BAHAGIA
            Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan menjaga isteri-isteri kamu. Bahawa sesungguhnya kamu ambil mereka itudengan amanah Allah dan telah dihalalkan kepada kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Inilah wasiat Rasulullah s.a.w untuk setiap bakal suami mengenai hak-hak isteri mereka terhadap mereka. Setelah seseorang itu mengambil seorang wanita sebagai isterinya melalui ikatan perkahwinan yang sah, maka ia dapatlah diertikan bahawa beliau telah memikul satu amanah dari Allah diatas bahunya. Hak dan tanggungjawab si bapa gadis itu telah berpindah kepadanya. Begitu juga beban dosa yang harus dipikul oleh ibu bapanya, kini harus dipikul oleh suaminya pula (Muhammad Abdul Lathief: 15).
            Sesebuah perkahwinan dalam Islam itu menekankan peri pentingnya persefahaman, kasih sayang, saling kenal mengenal dan menghormati antara satu sama lain, agar sebuah rumah tangga itu berkekalan dan terpelihara hingga ke akhir hayat, secara tidak langsung menjadi tauladan pada anak-anak agar memiliki akhlak yang terpuji (Hj Mohd Jiffry Hj Al-Akram: 41).
4. PERGAULAN MESRA SI SUAMI DENGAN ISTERI DAN AHLI KELUARGANYA
Suami dalam setiap waktu hendaklah berusaha menceriakan keadaan rumah tangganya. Kemesraan hendaklah diwujudkan dalam rumah tangganya. Umpamanya, suami hendaklah menimbulkan kemesraan dengan isteri dan anak-anaknya ketika waktu makan. Perbuatan si suami menyuapkan makanan ke dalam mulut isterinya akan menyebabkan beliau memperolehi ganjaran sedekah. Kemesraan bergurau dengan isteri ini telah diamalkan oleh baginda s.a.w dengan isterinya Siti Aisyah r.a. Baginda s.a.w mengajak isterinya berkejar-kejaran di dalam rumahnya. Kali pertama  baginda  s.a.w menang dan kali yang kedua baginda s.a.w mengalah (Muhammad Abdul Lathief: 30).
Puji-pujian hendaklah sentiasa diberikan oleh pihak suami kepada isterinya. Inilah merupakan satu cara bagi pihak suami untuk menghargai isterinya. Ketika menjamah hidangan suami hendaklah memuji kelazatan masakan isterinya walaupun makanan itu kurang sedap (Muhammad Abdul Lathief: 31).
            Selain itu, percakapan isteri dan anak-anak hendaklah dijaga. Jangan mudah marah dan memaki hamun tidak menentu kerana kita tidak tahu bila ‘keberkatan’ pada mulut kita. Suami tidak boleh mengeluarkan kata-kata maki dan mencela isterinya walaupun nyata dia melakukan kesalahan. Ini adalah kerana kesannya sangat buruk kepada anak-anak. Tegurlah dengan cara yang baik. Begitu juga dengan anak-anak jangan mudah mengeluarkan kata-kata yang kesat dan keji walaupun mereka melakukan sesuatu kesalahan (Muhammad Abdul Lathief: 32).
Ketika melakukan persetubuhan hendaklah melakukan dengan penuh adab-adab Islam. Sebelum melakukan persetubuhan, bacalah ayat-ayat suci al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang dituntut ketika hendak melakukan persetubuhan, agar mendapat jiwa keislaman. Pada peringkat isteri mengandung, suami hendaklah banyak membaca kitab suci al-Quran, berselawat, berzikir dan sembahyang sunat kerana kesannya sangat baik kepada janin yang dikandung oleh isterinya. Setelah anak dilahirkan sinarilah rumah tangga dengan bacaan al-Quran dan zikir.
Apabila menerima kelahiran cahaya mata disunatkan azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kiri anak (Muhammad Abdul Lathief : 33). Isteri juga wajib menjaga percakapannya dengan suami kerana boleh membawa kepada haram memasuki syurga. Kata-kata yang keluar dari mulut isteri yang menyakiti suami lebih busuk dari bangkai biawak dan manusia. Malah perkara-perkara yang menghalang isteri daripada memasuki syurga bukan hanya percakapan malah perbuatannya juga dikatakan derhaka.
5. TANGGUNGJAWAB IBU BAPA KE ATAS ANAK-ANAKNYA
i. Gunakan Perkataan Yang Lembut
Berkomunikasilah dengan anak-anak dengan menggunakan perkataan yang lemah lembut. Ibulah  orang yang paling banyak berkomunikasi dengan anak-anaknya dan jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata kesat, kotor dan menyumpah kerana kata-kata ibu adalah doa untuk anaknya (Muhammad Abdul Lathief : 37).
ii. Semaikan Cinta Kepada Agama Dalam Jiwa Kanak-Kanak
Didiklah dengan didikan agama agar menjadi hamba Allah yang bertakwa dan umat Nabi Muhammad s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w  “Berkahwinlah kamu dan lahirkan anak yang ramai, sesungguhnya aku akan bermegah dengan umatku yang ramai.”
iii. Didik Anak Menjadi Anak Yang Soleh
Sabda Rasulullah s.a.w : “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya ilmu yang bermanafaat”. Suami dan isteri hendaklah berkelakuan baik sebagai model kepada anak-anaknya. Suami hendaklah menunaikan solat berjemaah di masjid, agar keberkatan yang dibawa apabila dia pulang dari masjid. Latihlah diri dan isteri bangun awal untuk menunaikan solat Subuh.  Kejutlah anak-anak awal pagi untuk bersama menunaikan solat dan persiapan ke sekolah agar tidak kelam kabut ditinggal bas sekolah (Muhammad Abdul Lathief : 38).
iv. Mengawal Kelakuan Anak-Anak Dan Perihatin Terhadap Kegiatan Mereka
Kelakuan anak-anak hendaklah diawasi selalu agar apabila ada sesuatu kekusutan dapat dihuraikan sebelum terjerumus ke lembah kehinaan. Pastikan solat fardu dan puasa berjalan dengan baik (Muhammad Abdul Lathief : 39).
v. Mengasingkan Tempat Tidur Anak-Anak
Tempat tidur anak-anak hendaklah diasingkan daripada ibu bapanya apabila usianya meningkat tujuh tahun. Aurat ibu bapa hendaklah dilindungi daripada pandangan anak-anak samada ketika sedar ataupun tidur (Muhammad Abdul Lathief : 41). Baginda s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu pisahkan tempat tidur anak-anakmu apabila menjangkau usia tujuh tahu.”  
vi. Memberikan Nama Yang Baik Kepada Anak-Anak
Suami dan isteri hendaklah memberi nama yang baik kepada anak mereka mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Anak-anak lelaki berilah nama Muhammad pada awalnya atau pilihlah nama-nama sahabat, ulama-ulama dan perkataan bahasa arab yang memberi erti baik. Begitu juga dengan anak-anak perempuan pilihlah perkataan yang memberi erti yang baik. Jangan memberi nama anak-anak hasil dari campuran nama suami dan isteri serta memberi erti yang tidak baik.
vii. Memastikan Nafkah Halal Untuk Anak-Anak
Suami yang mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak hendaklah memastikan rezeki itu didapati secara halal. Sumber makanan yang masuk dalam perut isteri dan anak-anak dari sumber yang haram akan menjadi darah daging yang digemari oleh api neraka (Muhammad Abdul Lathief : 42).
6. FAKTOR-FAKTOR KELUARGA BAHAGIA MENURUT ISLAM
Kekeluargaan yang bahagia akan wujud rumahtangga bahagia yang menjamin kebaikan kepada seluruh ahli keluarga terutamanya kepada anak-anak. Proses mewujudkan keluarga bahagia memerlukan sokongan padu daripada ibu, bapa, ahli keluarga yang lain dan juga masyarakat. Empat faktor utama keluarga bahagia menurut Islam iaitu :-

6.1.  Faktor Suami Isteri.
6.2.  Faktor Keilmuan.
6.3.  Faktor Kekeluargaan.
6.4.  Faktor Ekonomi.
6.1. Faktor Suami Isteri
a.      Pemilihan Pasangan
Menurut (Harlina Halizah Hj Siraj: 2007: 68), faktor utama pemilihan calon yang betul sebelum mendirikan rumah tangga ini amat penting dan sewajarnya diberikan keutamaan yang tinggi sekiranya ingin membentuk keluarga bahagia. Islam telah memberi garis panduan memilih pasangan hidup sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud : “Wanita itu dikahwini kerana empat sebab, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya kamu akan selamat”.
               
b. Rumahtangga Berlandaskan Takwa dan berasaskan kasih sayang (Mawaddah Warahmah)
Selain itu, dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia, amatlah penting sesebuah rumah tangga itu didirikan berlandaskan taqwa iaitu berpandukan al-Quran dan al-Sunnah serta menjadikannya sebagai panduan bagi suami isteri dalam menangani sebarang permasalah yang timbul di dalam rumahtangga (Zakaria Lemat: 2000: 81). Firman Allah S.W.T:-
Terjemahannya : “Kemudian jika kamu berselisih faham / pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) Rasulullah (Sunnah)”.
(Surah An-Nisa: 4: 59)
Rasulullah s.a.w. menggambarkan rumahtangga bahagia itu dengan sabdanya yang bermaksud:-
Terjemahannya: “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling cinta mencintai dan saling sayang menyanyangi di antara mereka ialah seperti satu anggota tubuh”.
Persiapan diri dari segi fizikal, mental dan emosi bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, harus ada pada setiap pasangan supaya sebarang masalah yang dialami boleh diatasi dengan penuh bijaksana. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, perlu ada perasaan kasih sayang dalam hati suami dan isteri. Tanpa kasih sayang daripada kedua-dua pihak (suami dan isteri), mustahil keluarga bahagia akan terbentuk. Perasaan cinta, mengambil berat dan bertanggungjawab terhasil daripada sifat kasih sayang yang murni dan suci. Firman Allah S.W.T:-
Terjemahannya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri dari jenis kaummu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri perasaan kasih saying dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.
(Surah Ar-Rum: 30: 21)
Ayat di atas menggambarkan dengan jelas betapa pentingnya perasaan kasih sayang yang harus wujud dalam sebuah rumahtangga demi melahirkan sebuah keluarga bahagia seterusnya melahirkan masyarakat yang aman damai, saling hormat-menghormati, percaya-mempercayai dan tolong-menolong. Tanpa perasaan kasih sayang dikalangan ahli keluarga, sebuah institusi rumahtangga akan hancur seterusnya menghuru-harakan sebuah keluarga dan kebahagiaan hanya menjadi angan-angan semata (Zakaria Lemat: 2003: 82 - 83).
c. Memelihara Rahsia Rumahtangga, Hormat Menghormati Dan Saling Bertolak Ansur

Suami isteri amat perlu menjaga rahsia rumah tangga (Zakaria Lemat: 2003: 86) mereka agar tidak timbul berita atau perkara yang buruk jika tersebarnya perkara-perkara yang seharusnya dirahsiakan dari pengetahuan umum demi kesejahteraan keluarga yang bahagia.
Sikap hormat menghormati antara pasangan secara tidak langsung melahirkan rasa hormat kepada orang lain pula. Suami menghormati isteri dan lebih utama isteri yang solehah menghormati suaminya juga merupakan antara faktor penting bagi menjalin perhubungan keluarga bahagia (http://kaedah.com/gaya-hidup/7-panduan-rumah-tangga-bahagia/).
Suami isteri haruslah bertolak ansur dalam semua perkara. Sifat bertolak ansur mewujudkan suasana menang-menang kepada suami dan juga isteri (http://kaedah.com/gaya-hidup/7-panduan-rumah-tangga-bahagia/).
d. Persefahaman dan Jujur Antara Satu Sama Lain
Menurut (Zakaria Lemat: 2003: 83), persefahaman yang baik antara suami isteri juga merupakan faktor dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Suami isteri hendaklah saling kenal mengenali diri pasangan hidup secara luaran, emosi dan perasaan. Apabila wujudnya persefahaman,  maka terbinalah keluarga dan rumahtangga yang bahagia. Rumah tangga bahagia sewajarnya sentiasa di dalam ketenangan, jauh dari kebisingan dan kekalutan. Sebarang kemelut yang melanda, diatasi dengan penuh berhemah dan bijaksana. Rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati, sebanyak 28,035 pasangan bercerai sepanjang tahun lalu adalah berpunca dari kegagalan mencapai persefahaman yang sepatutnya wujud di antara suami isteri (http://cikgufendi85.blogspot.com/2011/10/statistik-perceraian-di-malaysia.html). Bersikap lemah lembut, saling menghormati antara satu sama lain dan menghormati ahli keluarga ke dua belah pihak bagi mewujudkan suasana keluarga yang bahagia.
e. Mengamalkan Gaya Keibubapaan Yang Berkesan Dan Komunikasi Berterusan
Kekuatan keluarga bahagia lahir dari gaya keibu bapaan yang lebih sesuai dengan pendekatan Islam dan dirasakan mampu memberikan kesan positif  di mana kekuatannya terletak kepada sistem komunikasi dua hala yang menyuburkan amalan syura dan musyawarah yang meluas di antara anak-anak dengan ibu bapa. Kaedah dan gaya ini mampu memupuk sifat keyakinan diri yang tinggi disamping suasana kasih sayang yang diwarnai dengan kemesraan dan rasa hormat-menghormati. Ibu bapa yang bersikap terbuka dalam menerima teguran anak-anak akan mendapat kepercayaan dan penghormatan anak-anak. Dalam masa yang sama, ibu bapa tidak boleh bertolak ansur dalam aspek aqidah dan tauhid, dalam melaksanakan amalan fardhu serta menjauhi perkara-perkara mungkar dan keji (Harlina Harlizah Hj. Siraj: 2007: 75 - 76).
Menurut Iran Bin Haji Herman (2003: 63), diantara ciri-ciri keluarga bahagia ialah mewujudkan komunikasi berkesan di antara suami dan isteri juga anak-anak. Komunikasi berkesan ini dapat dilihat dari bentuk bukan lisan seperti tingkah laku, mimik muka, tulisan, sebarang pergerakan anggota badan dan penampilan diri ahli keluarga. Ibu bapa dan anak-anak yang sering berkomunikasi samada melalui perbincangan jika terdapat sebarang permasalahan amat membentuk suasana sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa  juga hendaklah menjadi pendengar dengan aktif dan bijak memberi tumpuan pada setiap apa yang ahli keluarga tuturkan. Pandangan setiap ahli di dalam keluarga juga sentiasa diambil kira untuk mewujudkan suasana komunikasi yang berkesan bagi mewujudkan keluarga yang bahagia. Firman Allah S.W.T:-
Terjemahannya: “Perlahankanlah suaramu, sesunggguhnya seburuk-buruknya suara adalah suara keldai”
(Surah Luqman: 31: 19) 
                                                                                                                     
Ayat ini menjelaskan bahawa keluarga yang bahagia sering kali berlemah lembut semasa berkomunikasi.

f. Jiran Tetangga Yang Baik
Dalam pembentukan keluarga yang bahagia, jiran tetangga juga  memainkan peranan dalam mewujudkan keharmonian serta pembangunan keluarga dan masyarakat bahagia. Jiran tetangga merupakan orang terdekat dengan kita atau keluarga kita. Maka sewajarnyalah keluarga yang bahagia, memiliki jiran tetangga yang baik (Zakaria Lemat: 2003: 84).

6.2. Faktor Keilmuan
i. Mempunyai Ilmu Rumahtangga dan Memahami Tanggungjawab Suami Isteri

Berpengetahuan tentang ilmu berkaitan rumah tangga penting untuk dipelajari oleh setiap pasangan dan pernyataan ini selari dengan Iran bin Herman (2003: 51) yang menjelaskan, untuk melahirkan sebuah rumah tangga dan keluarga bahagia, ilmu yang berhubung dengan keluarga dan keibu-bapaan adalah perlu. Melalui ilmu,  manusia dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan pengetahuan antaranya, daripada membaca buku-buku ilmiah dan mendengar ceramah sebagai cara meningkatkan pengetahuan untuk membentuk keluarga bahagia.
Menurut penulis sebuah blog berkenaan tanggungjawab suami isteri suami adalah ketua di dalam sebuah keluarga (http://nuraswany.blogspot.com/2008/10/peranan-suami-dalam-pembinaan-kluarga.html).  Suami merupakan aset penting dalam pembangunan bagi melahirkan keluarga yang bahagia. Tanggungjawab suami sebagai pemimpin keluarga adalah memberikan didikan agama yang secukupnya dengan mengajarkan ahli keluarganya ilmu fardhu Ain. Jika baik didikan yang diberi, maka akan lahirlah keluarga yang baik sebaliknya jika buruk didikannya maka akan lahirlah keluarga yang tidak baik.
Bagi membentuk keluarga bahagia, suami atau isteri perlu memahami tugas dan tanggujawab berikut (Zakaria Lemat: 2003: 84 - 88). Berikut adalah peranan-peranan suami:-
a.       Memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal dari sumber dan usaha yang halal.
b.       Suami, berkewajipan melayani isteri dan ahli keluarga lain dengan baik dalam perkara ini. Sabda Rasulullah s.a.w:-

Terjemahannya: “Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur ketika isterinya membangkang."

c.       Suami yang bertanggungjawab  tidak akan menzalimi anak isteri.
d.   Suami bertanggungjawab menegur, menasihati dan menunjuk ajar jika isteri      melakukan maksiat dan kesalahan. Seorang suami yang berilmu keagamaan,  mestilah mendidik isterinya dengan penuh berhikmah. Suami yang bertanggungjawab tidak mengambil tindakan yang melulu sebaliknya bukanlah bermaksud tunduk dan patuh di bawah telunjuk isteri.
e.   Suami sewajarnya bersikap lapang dada dalam menghadapi sesuatu masalah kerana Allah menguji seseorang itu mengikut kemampuannya.
      f.   Suami bertanggungjawab melindungi ahli keluarga dari segala bentuk pencerobohan dan ancaman di samping melindungi mereka dari neraka.

Menurut Zakaria Lemat (2003: 86 - 88), Antara peranan dan tanggungjawab isteri yang harus difahami ialah:-
      a.   Wajib bagi isteri mematuhi, mentaati dan menghormati suami selama mana tidak bertentangan dengan syariat Islam.
      b.   Menjaga kehormatan dirinya dan suaminya dan menjaga amanah dan harta suaminya dan juga rahsia keluarga dan rumahtangga.
      c.   Berhias untuk suami, isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas dan sentiasa berhias untuk suami.
      d.   Menjaga anak-anak dengan sempurna dan sewajarnya menurut lunas-lunas Islam, menjaga kebersihan, kesihatan dan kebajikan anak-anak sesuai sebagai tugas ibu yang penyayang dan bertanggungjawab.
      e.   Menjalankan urusan rumahtangga supaya sempurna dan teratur dalam mengendalikan kerja-kerja rumah.
      f.   Tidak meninggalkan rumah melainkan setelah mendapat izin dari suaminya atau disebabkan mudharat.
      g.   Sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan agama.
      h.   Berakhlak mulia dan pandai bergaul dengan keluarga suami.
       i.   Selalu menghargai perasaan suami dan memenuhi kemahuan suami
       j.   Berhemah tinggi, lembah lembut dan berlapang dada terhadap suami.
      k.   Bersyukur atas segala pemberian dari suami.

ii. Memberikan Pendidikan Yang Komprehensif

Selain aspek aqidah dan keimanan, menjadi tanggungjawab ibu bapa Muslim menghantar anak-anak ke sekolah atau mengajarnya secara tidak langsung untuk mempelajari enam lagi aspek-aspek pendidikan (Harlina Halizah Hj Siraj: 2007: 72) iaitu aspek moral, fizikal, intelektual (kognitif), psikologikal, sosial dan seksual. Sekiranya semua ibu bapa mampu memberikan penekanan kepada semua aspek tersebut, akan lahirlah keluarga bahagia yang terdiri daripada kalangan anak-anak pewaris generasi akan datang yang seimbang dan penuh dengan potensi yang akan melonjakkan diri mereka ke peringkat kejayaan yang jauh lebih baik dari kedua ibu bapa mereka sendiri.

6.3. Faktor Kekeluargaan
i.  Mengutamakan Ahli Keluarga dan Merancang Kehadiran Setiap Anak-Anak Dalam Keluarga
Ketua keluarga yang bahagia sering memberi keutamaan kepada ahli keluarganya sendiri. Amat penting mengutamakan keluarga daripada yang lain. Tanggungjawab utama seorang bapa adalah menjaga keluarganya begitu juga kepada seorang ibu. Jangan ibarat kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan (http://kaedah.com/gaya-hidup/7-panduan-rumah-tangga-bahagia/).

Menurut Harlina Halizah Hj Siraj (2007: 72), faktor perancangan amatlah ditekankan dalam Islam sebagai satu cara hidup yang progresif. Tentu sekali dalam membina sebuah rumah tangga dan keluarga yang bahagia, faktor merancang kehadiran anak-anak harus diberikan keutamaan.  Sepuluh perkara telah disenaraikan oleh Prof. Abdel Rahim tentang kesihatan yang produktif berkaitan keluarga terancang. Antaranya:-
a.         Perkahwinan antara saudara terdekat tidak digalakkan. Oleh itu, keluarga seharusnya dirancang, semenjak sebelum perkahwinan berlangsung melalui kaunseling genetik dan pra-perkahwinan.
b.         Keibubapaan adalah satu tanggungjawab yang berat. Setiap anak mestilah dikehendaki, direncana dan dilayan dengan keadilan sosial serta psikologikal sama rata tanpa mengira jantina.
c.         Kehamilan hendaklah dijarakkan antara 3  hingga 4 tahun bagi mengambil kira kesihatan si ibu dan keupayaan keluarga dalam mendidik generasi Muslim yang baik, sihat dan bertakwa. Kehamilan berisiko tinggi mestilah dielakkan dan sekiranya berlaku, mestilah mendapatkan jagaan pakar.
d.         Penjagaan kesihatan semasa kehamilan dan melahirkan adalah wajib bagi setiap kehamilan terutamanya untuk kehamilan sulung. Penyusuan ibu menjadi asas kepada kesihatan bayi dan mestilah dipastikan tiada kehamilan sepanjang tempoh penyusuan.

Perancangan keluarga ini bertujuan untuk memberi peluang agar keupayaan fizikal kesihatan dan kecergasan terutamanya ibu terjaga dengan baik sebelum kehamilan berikutnya. Secara tidak langsung, perancangan keluarga dapat meningkatkan keupayaan ekonomi kedua suami isteri agar perbelanjaan keluarga terancang. Masa yang berkualiti untuk anak-anak juga dapat dirancang dengan bijaksana apabila keluarga terancang. Manakala, sokongan komuniti iaitu kelengkapan pendidikan, kesihatan, perumahan dan penjagaan anak-anak juga tercapai dengan seimbang demi mewujudkan suasana keluarga bahagaia yang terancang.

6.4. Faktor Ekonomi

Menurut Zakaria Lemat (2003: 82), faktor ekonomi merupakan punca utama terbentuknya keluarga bahagia. Hendaklah setiap ahli keluarga berusaha sedaya mampu menjauhkan  diri daripada amalan pemboros dalam makanan, minuman, perabot rumah tangga dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T:-
Terjemahannya : “Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”.
(Surah al-A’raf : 9 : 31)

7. KAEDAH DAN PENYELESAIAN KRISIS RUMAH TANGGA MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM
Setiap insan impikan kebahagiaan dalam kehidupan namun langit tidak selalu cerah, adakalanya ikatan yang pada awalnya bahagia diuji oleh pelbagai krisis yang melanda yang perlukan kepada penyelesaian yang bijak. Antara krisis yang biasa dihadapi dalam rumahtangga ialah (Sayid Sabiq: 2001):-
i. Kewangan
Faktor kewangan sering menjadi perbalahan di dalam rumah tangga terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar . Ini kerana kos sara hidup yang tinggi dan peningkatan harga barang dari masa ke semasa menyebabkan masalah kewangan menghimpit kehidupan lantaran dibebani hutang bagi menampung kos sara hidup. Bagi menangani permasalahan ini isteri perlu mengambil peranan bagi membantu suami sama ada memilih untuk turut bekerja ataupun menambah pendapatan dari rumah seperti menghasilkan barangan kraftangan, menjual kuih-muih atau menjadi pengasuh. Secara tidak langsung isteri mempunyai hasil pendapatan sendiri untuk menampung perbelanjaan harian (Hasrizal Abdul Jamil: 2010).
ii. Orang Ketiga
Hal ini sering terjadi kepada suami yang mempunyai bidang kerjaya yang sering menghubungkan mereka dengan wanita lain di tempat kerja. Bukan hanya bekerja di pejabat yang besar, pegawai pemasaran malah pemandu teksi juga sering dikaitkan dengan krisis orang ketiga ini. Pernah suatu ketika berlaku kepada ahli keluarga saya sendiri yang terlibat dengan masalah orang ketiga tetapi apabila perkara ini dibawa ke balai polis dan mahkamah syariah kami seolah disindir dengan menyatakan statisitik bagi pemandu teksi untuk masalah ini cukup tinggi. Kaedah menangani perkara ini ialah pegangan agama yang kukuh dan kepercayaan yang kuat terhadap isteri sendiri. Bekerja ialah tuntutan fardhu ain yang wajib bagi suami tetapi jika niat itu disertai penyelewengan terhadap rumah tangga maka akan menjejaskan rezeki dari Allah (Ikhsanuddin: 2010: 34).
iii. Mertua
            Terdapat campur tangan mertua dalam rumah tangga terutama bagi mereka yang tinggal sebumbung. Perkara ini akan berlanjutan menjadi krisis yang lebih besar apabila dikaitkan dengan tanggungjawab membesarkan anak-anak, kewangan, perhatian terutama bagi pasangan yang berkahwin tanpa restu ibubapa. Biasanya isteri memendam perasaan mereka demi menghormati suami dan mertua namun lama-kelamaan akan menyebabkan krisis yang berlanjutan ke peringkat yang lebih parah. Bagi menangani permasalahan ini, adalah menjadi tanggungjawab suami perlu menyediakan tempat tinggal yang berasingan kepada isteri bagi memudahkan mereka melayari kehidupan bahagia tanpa campur tangan mertua (Ahmad Nuryadi Asmawi: 2009: 69).
iv. Faktor Usia
Usia yang sesuai bagi kehidupan berkeluarga tidaklah terlalu muda ataupun terlalu berusia. Ini kerana bagi mereka yang berkahwin di usia muda agak kurang ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menangani krisis yang melanda. Memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu adakalanya menjadi bebanan dek kerana tiada persediaan yang cukup dari segi mental dan fizikal. Bagi pasangan yang berkahwin lewat pula faktor ketiadaan anak sebagai penyeri rumah tangga sering menjadi isu perbalahan yang menyebabkan suami merasa bosan dan memilih untuk berkahwin lain dengan alasan untuk mendapatkan zuriat dari darah daging sendiri. Perlu kepada ilmu pengetahuan yang cukup untuk menangani krisis ini agar tidak terus melarat yang mengakibatkan perceraian (Dato Ismail Kamus: 2009: 21).
v. Masa
Peruntukan dan pengurusan masa yang baik akan menentukan kebahagiaan sesebuah keluarga. Ini akan lebih penting lagi bagi yang mempunyai anak kerana anak-anak perlu membesar dalam suasana bahagia dimana ibu bapa menjadi role model kepada mereka dan sentiasa mendampingi di saat mereka memerlukan. Sering menjadi perbalahan terutama bagi isteri yang tidak bekerja dimana segala tanggungjawab menguruskan anak-anak diletakkan sepenuhnya kepada isteri malah adakalanya suami hanya memperuntukkan masa hanya 2 jam sehari dirumah selebihnya hanya tidur setelah lewat pulang dari kerja. Percutian bersama keluarga perlu diletakkan di dalam kalendar tahunan keluarga agar dapat menikmati suasana berbeza dari rumah dan secara tidak langsung ibubapa dapat memberi fokus kepada anak-anak sepanjang percutian itu (Ikhsanuddin: 2010: 35).
vi. Ilmu Pengetahuan
Tanpa ilmu kehidupan akan jadi terjejas dan ketinggalan. Isteri perlukan kepada penghayatan ilmu agama sebagai panduan hidup dan menjadi tanggungjawab suami menyediakan keperluan itu kepada isteri. Namun berapa ramaikah suami yang menyediakan segala keperluan ilmu ini kepada isteri di rumah? Berapa ramaikah suami yang menghantar isteri ke majlis ilmu, kelas al-quran dan fardhu ain? Malah yang amat menyedihkan suami sendiri tidak mengamalkan cara hidup berilmu pengetahuan. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya setiap keluarga mempunyai bekalan ilmu pengetahuan, khasnya ilmu agama yang mencukupi bagi melayari kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran yang hebat (Hasrizal Abdul Jamil: 2010).

8. KESIMPULAN
Kebahagiaan adalah suatu yang dibina dari segala kepayahan dan ilmu pengetahuan yang tinggi (Hasrizal Abdul Jamil: 2010). Ia perlu dibajai sepanjang detik dan waktu melalui perkongsian suami dan isteri. Tanpa perkongsian yang adil dan jujur maka rumah tangga yang bahagia sekadar impian kosong semata-mata.
Kehidupan perlu kepada landasan syariat dan Islam sebagai teras panduan hidup akan menjanjikan kebahagiaan yang diimpikan itu berkekalan sepanjang hayat. Kehidupan berkeluarga bermula dari termetrinya ikatan akad nikah maka bermulalah sebuah fasa kehidupan yang baru buat dua insan. Berbekalkan ilmu pengetahuan maka kehidupan yang dibina akan mendapat keberkatan ( Dato’ Ismail Kamus: 2009: 165).
Kebahagiaan rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa tetapi kualiti masa yang yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak (Hasrizal Abdul Jamil: 2010: 38). Memikul tanggungjawab bersama bermula dari sebuah kehidupan yang dijalani di awal perkahwinan sehinggalah setelah hadirnya zuriat menyeri kehidupan. Sebagai ketua keluarga perlulah bijak menangani bahtera kehidupan agar kehidupan yang dibina akan bahagia buat selamanya.
            Perkongsian dalam sebuah kehidupan berkeluarga merangkumi tanggungjawab, kewangan, kasih sayang, masa dan segalanya. Lantaran itulah mencari pasangan yang sesuai dan serasi amat penting sebelum membina keluarga yang di impikan. Bukan mudah menjalani kehidupan dengan pasangan yang tidak dikenali latar belakang keluarga kerana ia boleh menjurus kepada krisis rumah tangga yang begitu banyak berlaku sejak akhir-akhir ini. Peningkatan penceraian di usia awal perkahwinan semakin menjadi-jadi dewasa ini. Perlulah difikirkan agar perkara ini dapat dibendung bagi membentuk generasi yang lebih baik di masa akan datang (Hasrizal Abdul Jamil: 2010: 231).
            Islam sebagai agama yang shumul dan bercirikan insaniah iaitu agama samawi yang menjamin keperluan manusia seluruhnya, telah mensyariatkan perkahwinan sebagai salah satu dari jalan-jalan untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan hidup manusia. Sebenarnya begitu banyak hikmat disebalik pensyariatan bagi mereka yang ingin memerhati dan mengambil pengajaran. Maka dengan ini jadikanlah agama Islam itu sebagai panduan bagi membina keluarga yang bahagia untuk selamanya.

9. BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Mohamed (2008). Panduan Berilustrasi Di Dalam Kaedah Mendidik Isteri & Anak Antara Galakan dan Larangan Memukul dalam Islam.  Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Azizan Hj. Baharuddin (2003).  Keluarga Bahagia Dari Perspektif Islam Keluarga Bahagia Yang Diidamkan. Kuala Lumpur:  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Azrina Sobian (2007). Keluarga Islam, Kemahiran Keibubapaan dan Cabaran Semasa. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Hasrizal Abdul Jamil (2010).  Aku Terima Nikahnya. Kuala Lumpur:  Galeri Ilmu Sdn. Bhd
Ismail Kamus (2009).  Indahnya Hidup Bersyariat.  Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Mohd Najib & Nasir Ahmad (1993).  Koleksi 75 Kisah Benar Dalam Hidup Nabi-Nabi, Para Sahabat & Tokoh-Tokoh Islam. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.

Muhammad Abdul Lathief (2003).  Rumahku Syurgaku.  Kuala Lumpur: Darul Nu’man                           Sdn. Bhd. 

Noresah Bt Baharom (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat.  Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd.

Sheikh Abdullah Basmeih (2001). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.  Kuala Lumpur: Penerbitan                       Adabi Sdn. Bhd.

Wholesale-Mart (2010). Khas untuk Muslimin & Muslimah Diari Islam 1431 – 1432 H 2010. Kuala Lumpur: Wholesale-Mart Business Point Sdn. Bhd.

Zulkifli Mohammed al-Baki (2010). Majalah Solusi.  Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Zahazan Mohamed (2006).  Panduan Mendidik Anak Menurut Islam Anakku Hebat Anakku          Soleh   تربية الأولاد .  Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.






About The Author

I am awesome wife to my husband, awesome mother to my kids, awesome blogger and awesome teacher to my students.
View all posts by: Cikgu Ieta

0 1 orang yang sudi komen:

Anda hebat jika...
1) Boleh share yang bermanfaat & beri backlink...
2) Komen apa yang anda baca. Pengomen Anonymous, spam (letak link blog anda dalam entri blog ini) & iklan adalah auto delete.

Terima kasih sudi jejak & komen :)

Back to top ↑
Connect with Us

♡ Top Commenters Oktober ♡


:: Dapatkan Tutorial Ini ::
get this

♡ STATUS DAN PING ♡


ping blog Instagram Blogged.my My Ping in TotalPing.com

♡ ANDA PENGUNJUNG KE ♡

© 2009 - 2014 Kisah Cikgu Ieta. Distributed By Blogger Themes Edit By AbgferOz | WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.